Ungkapan berimplikatur sebagai strategi kesopanan dalam warkah koleksi Pendeta Za’ba
Yusniza Yaakub1, Noriah Mohamed2.
Masyarakat Melayu digambarkan sebagai manusia yang mempunyai budaya yang halus, sopan santun, amat mementingkan adab ketika berkomunikasi, enggan menunjukkan sikap biadab serta memanfaatkan kiasan dan perumpamaan sebagai pegangan dalam budaya mereka. Dalam keadaan tertentu, mereka menggunakan ucapan yang berimplikatur kerana lebih memberikan kesan kepada khalayak. Implikatur sebagai satu cabang pragmatik mengambil kira hubungan dengan budaya dan masyarakat. Dengan menggunakan huraian implikatur Grice (1975) dan disesuaikan mengikut huraian Asmah (1992) tentang ungkapan tidak langsung (indirectness speech), kajian ini akan meneliti ungkapan berimplikatur dalam warkah koleksi peribadi Za’ba sebagai strategi kesopanan berbahasa. Warkah-warkah ini dipilih kerana ia merupakan satu warisan sejarah yang tidak ternilai harganya daripada seorang ikon besar dalam dunia Melayu yang terkenal dengan kesarjanaannya. Dapatan kajian dapat menyumbang kepada panduan menggunakan ungkapan berimplikatur dalam tradisi penulisan surat-menyurat. Hasil kajian menunjukkan Za’ba banyak menggunakan implikatur dalam penulisan warkah peribadi beliau.
Affiliation:
- Universiti Utara Malaysia, Malaysia
- Universiti Sains Malaysia, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 214 time(s))