View Article |
Vaksin oral universal untuk jangkitan influenza
Yap, Wei Boon1, Toong, Seng Tan2, Sharifah Syed Hassan3, Jeffrey Cheah4.
Saban tahun, jangkitan virus influenza A telah mengakibatkan kadar kematian yang setinggi 300,000-500,000 di seluruh
dunia. Biarpun terdapat agen dan vaksin anti-influenza yang berkesan terhadap jangkitan influenza, namun kadar
mutasi yang tinggi dalam virus influenza A telah menyebabkan keberkesanan agen atau vaksin tersebut menurun secara
mendadak dalam sesetengah individu. Keadaan ini dirumitkan lagi dengan beberapa batasan dalam proses penghasilan
vaksin influenza yang sedia ada, antaranya tempoh produksi yang lama, kapasiti vaksin yang terhad dan kekurangan
perlindungan bersilang terhadap subjenis virus influenza A yang berlainan. Bagi menyelesaikan isu-isu tersebut,
pembangunan vaksin influenza universal berdasarkan antigen yang terpelihara seperti protein bukan struktur 1 (NS1)
telah diusahakan. Protein NS1 amat terpelihara dalam kesemua subjenis virus influenza A yang telah diketahui sehingga
kini, banyak dihasilkan pada permukaan sel terjangkit dan berperanan penting untuk mengekalkan kevirulenan virus.
Di samping itu, sel limfosit-T sitotoksik yang aktif terhadap NS1 juga mampu mencegah perebakan jangkitan influenza
dalam perumah. Bagi menghalang penyebaran jangkitan influenza dengan lebih efektif, imunisasi secara oral telah
lama dicadangkan kerana kaedah ini adalah lebih mudah serta selamat malahan dapat menyasarkan virus influenza A
bermula dari laluan kemasukannya. Lactobacillus telah banyak dikaji peranannya sebagai pembawa bakteria dalam
pembangunan vaksin oral disebabkan ciri-ciri probiotiknya yang signifikan. Antaranya, dapat merangsang tindak balas
imun di lapisan mukosa oral dan saluran pernafasan, kolonisasi tinggi pada permukaan mukosa serta keadjuvanan
semula jadi yang tinggi. Dengan itu, vaksin influenza universal oral yang dihasilkan dengan menggunakan NS1 dan
Lactobacillus seharusnya dikaji secara terperinci lagi dalam reka bentuk vaksin oral influenza.
Affiliation:
- Universiti Kebangsaan Malaysia, Malaysia
- Universiti Kebangsaan Malaysia, Malaysia
- Monash University Malaysia, Malaysia
- Monash University Malaysia, Malaysia
Toggle translation
|
|
Indexation |
Indexed by |
MyJurnal (2021) |
H-Index
|
3 |
Immediacy Index
|
0.000 |
Rank |
0 |
|
|
|