Faktor mempengaruhi prestasi usahawan wanita dalam koperasi
Syarifah Rohaya Wan Idris1.
Sehingga kini, populasi wanita yang bergelar usahawan terus meningkat di seluruh
dunia dan terbukti bahawa wanita telah menguasai lebih satu pertiga daripada
keseluruhan individu yang terlibat dalam aktiviti keusahawanan. Penglibatan wanita
dalam arena keusahawanan telah menjadi tumpuan dan perhatian utama dalam
kalangan penyelidik serta pengamal perindustrian memandangkan banyak negara
membangun kini telah membuka peluang kepada wanita untuk terlibat dalam aktiviti
keusahawanan yang sebelum ini dikuasai oleh golongan lelaki. Justeru itu, kajian
ini dijalankan adalah bertujuan untuk mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi
prestasi usahawan wanita dalam koperasi di bahagian Kuching dan Samarahan di
negeri Sarawak. Pembolehubah bebas yang terlibat dalam penyelidikan ini adalah
orientasi keusahawanan, modal insan, matlamat dan motif usahawan, faktor sosiobudaya
dan faktor perundangan dan pentadbiran. Pengantara dalam kajian ini pula
adalah pengiktirafan peluang manakala pemboleh ubah bergantung adalah prestasi
usahawan wanita. Asas pembolehubah telah dinilai dengan menggunakan soal selidik
yang sah. Sejumlah 118 responden dalam kalangan anggota wanita di koperasi telah
mengambil bahagian dalam tinjauan tersebut. Data diperoleh daripada analisis
menggunakan Pakej Statistik untuk Sains Sosial (SPSS) versi 22. Keputusan empirikal
menunjukkan bahawa modal insan didapati signifikan dengan korelasi positif dan
hubungan kuat dengan skala pengiktirafan peluang, sedangkan pengantara didapati
mempunyai korelasi positif dan hubungan kuat ke arah prestasi usahawan wanita.
Sementara itu, hubungan antara pembolehubah lain didapati signifikan dengan
korelasi sederhana dan hubungan positif dengan pengiktirafan peluang. Sumbangan
utama penyelidikan ini telah memberikan bukti empirikal mengenai hubungan antara
setiap pembolehubah. Selain itu, ia mendedahkan faktor yang paling mempengaruhi
prestasi usahawan wanita dalam kalangan anggota koperasi khususnya di kawasan
Kuching dan Samarahan. Bidang untuk kajian masa depan juga dibincangkan dalam
kajian ini.
Affiliation:
- Institut Koperasi Malaysia, Malaysia
Download this article (This article has been downloaded 114 time(s))