Peranan rangkaian sosial dan motivasi terhadap tingkah laku penglibatan aktif anggota lembaga koperasi yang mentadbir urus koperasi
Romaizah Abd Kadir1.
Kertas konsep ini disediakan bagi memperluaskan pengetahuan dan meningkatkan
pemahaman tentang tingkahlaku penglibatan aktif dalam kalangan anggota lembaga
yang mentadbir urus koperasi. Berdasarkan laporan empirikal lepas, kertas ini
mencadangkan satu kerangka teori kajian yang disokong secara konseptual untuk
menerangkan peranan rangkaian sosial dan motivasi bagi menyingkap di sebalik
proses lembaga iaitu tingkah laku penglibatan aktif. Struktur tadbir urus serta peranan
anggota lembaga dalam tadbir urus diterangkan secara kritis khususnya dalam
konteks organisasi koperasi. Isu-isu semasa berkaitan penglibatan berdasarkan
penemuan dan kajian-kajian lalu turut dikupas bagi menggambarkan kepentingan
penglibatan anggota lembaga dalam tadbir urus. Konsep tingkah laku penglibatan
dalam kajian-kajian lepas turut dibincangkan bagi merumuskan konsep tingkah laku
penglibatan aktif dalam tadbir urus koperasi. Ini termasuklah penglibatan anggota
lembaga dalam menjalankan fungsinya secara sukarela sebagai pentadbir dengan
mengambil bahagian secara aktif dalam membuat keputusan. Antara dimensi tingkah
laku yang dikenalpasti ialah Anggota Lembaga berusaha mengakses maklumat untuk
tujuan analisa dan penilaian, berupaya mengemukakan pandangan yang konstruktif
dan berkonflik secara positif dalam membuat keputusan mengenai tadbir urus.
Teori Kognitif Sosial yang disokong oleh Teori Penentuan Kendiri dijelaskan secara
ringkas bagi menggambarkan fenomena tingkah laku penglibatan aktif berkait dengan
rangkaian sosial dan motivasi Anggota Lembaga Koperasi. Akhir sekali kertas ini
mencadangkan agar kajian lanjut dapat dilaksanakan untuk menguji pengaruh faktor
rangkaian sosial dan motivasi terhadap tingkah laku penglibatan aktif Anggota
Lembaga dalam tadbir urus koperasi.
Affiliation:
- Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Malaysia