Pelaksanaan pendidikan perpaduan menerusi teks KOMSAS dalam kalangan pelajar tingkatan dua
Chew, Fong Peng1, Nurmaziah Majelan2.
Sentimen perpaduan di negara berbilang kaum seperti di Malaysia seringkali menjadi isu yang perlu diambil berat. Dalam konteks negara yang mempunyai masyarakat yang berbilang kaum, budaya dan agama, integrasi kaum dijadikan elemen penting dan tonggak asas dalam kestabilan negara. Kajian ini bertujuan untuk melihat bagaimana pelaksanaan pendidikan sastera menerusi teks Komsas mampu memupuk perpaduan pelajar sekolah menengah bawah di Merlimau, Melaka. Teori Weiner (1965) diaplikasikan dalam kajian ini untuk menilai pelaksanaan pendidikan teks Komsas tersebut. Soal selidik digunakan instrumen kajian untuk mengutip data daripada 103 orang pelajar Tingkatan Dua yang mempunyai latar belakang yang berbeza dari segi kaum dan pendapatan keluarga/SES. Dapatan kajian secara analisis deskriptif memperlihatkan bahawa buku teks Komsas tidak menggambarkan realiti masyarakat majmuk di Malaysia. Walaupun guru bersungguh-sungguh menarik minat pelajar, namun para pelajar masih tidak berminat dalam pembelajaran KOMSAS. Teks KOMSAS yang tinggi bahasa menyebabkan para pelajar kurang faham mengenai isi kandungannya. Dapatan analisis inferensi pula menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan dalam pelaksanaan pendidikan sastera perpaduan berdasarkan kaum (F (2, 100) = 11.272; p<0.05). Oleh yang demikian, kajian ini mendapati kaum yang berlainan memperlihatkan perbezaan yang ketara terhadap pelaksanaan pendidikan sastera perpaduan. Justeru itu pelajar perlulah mengambil inisiatif dalam menghayati teks Komsas yang bertemakan perpaduan serta mengambil pengajaran-pengajaran dan nilai-nilai murni yang terkandung di dalamnya untuk dijadikan panduan dalam kehidupan seharian.
Affiliation:
- University of Malaya, Malaysia
- University of Malaya, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 115 time(s))