Pembentukan imej geometri dan citra budaya dalam tenunan Tubau masyarakat Iranun di Kota Belud
Siti Halizah Mudin1, Zaimie Sahibil2, Friscilla Saimun3.
Kepelbagaian etnik di Sabah memaparkan identiti tersendiri dari segi kraf tangan yang dihasilkan. Seni kraf tangan merupakan antara penyumbang terbesar dalam bidang seni di Sabah. Kraf tangan yang amat popular di Sabah ialah tenunan, ukiran, sulaman dan anyaman. Sebagai contoh, tenunan kain destar etnik Iranun berfungsi sebagai tubau atau tengkolok yang menjadi pelengkap pakaian tradisional. Kerencaman kraf tangan dan faktor asimilasi budaya yang telah berlaku ratusan tahun dahulu menyebabkan kekeliruan pemakaian, keaslian dan identiti kain destar (tubau) etnik Iranun. Hal ini berlaku kerana pemakaian tubau turut dikongsi bersama dalam semua majlis keramaian dalam kalangan pelbagai etnik sebagai pelengkap pakaian. Justeru, kajian ini diusahakan untuk menjelaskan keaslian dan identiti kain destar (tubau) etnik Iranun. Identiti dan keaslian corak tubau diperinci berdasarkan teori geometri yang membahagikan kepada tiga kategori corak iaitu a) cerminan (reflection), b) translasi (translation) dan c) putaran (rotation). Analisis data tentang kategori corak dan motif kain destar berperanan untuk memaparkan nilai budaya yang mempunyai signifikannya dengan nilai intrinsik dan pembentukan corak. Kajian ini tertumpu di dua perkampungan Iranun, iaitu Kampung Rampaian Laut dan Kampung Rampaian Ulu di daerah Kota Belud, Sabah. Data-data kajian diperoleh melalui kaedah temu bual, audio visual dan pemerhatian, selain buku, artikel, laman sesawang, surat khabar dan jurnal. Kajian ini mendapati bahawa corak dan motif tenunan tubau Iranun adalah berdasarkan representasi objek yang diilhamkan daripada alam flora, fauna, objek di sekeliling dan aktiviti harian mereka, sekali gus menjelaskan aktiviti budaya dan jati diri mereka. Kajian ini dapat dimanfaatkan sebagai ilmu pengetahuan dan rujukan untuk generasi muda.
Affiliation:
- Universiti Malaysia Sabah, Malaysia
- Universiti Malaysia Sabah, Malaysia
- Universiti Malaysia Sabah, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 134 time(s))