Kemahiran komunikasi bukan lisan: Satu kajian terhadap guru pelatih bukan opsyen dalam pengajaran Bahasa Arab
Noor Shamshinar Zakaria1, Nor Azhan Norul ‘Azmi2, Harun Baharudin3.
Kemahiran komunikasi merupakan suatu elemen penting yang perlu dikuasai oleh setiap guru ketika melaksanakan aktiviti pengajaran. Komunikasi Bukan Lisan (KBL) telah dikenalpasti sebagai satu elemen dalam kemahiran mengajar yang membantu guru mempertingkatkan kualiti pengajaran serta minat dan motivasi murid. Justeru, kajian ini dijalankan untuk meneroka penguasaan guru pelatih bukan opsyen dalam kemahiran KBL dan amalannya dalam pengajaran Bahasa Arab. Kajian ini berbentuk kualitatif yang dilaksanakan melalui kaedah pemerhatian dan analisis dokumen sebagai instrumen. Peserta kajian melibatkan tujuh orang guru pelatih semester enam program Diploma Perguruan Pendidikan Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor yang sedang menjalani latihan praktikum di sekolah. Data dianalisis dengan menggunakan perisian NVIVO untuk mendapatkan tema-tema yang sesuai bagi menentukan kepentingan kemahiran KBL dalam pengajaran tersebut. Dapatan menunjukkan guru pelatih kurang menguasai kemahiran KBL ketika melaksanakan pengajaran Bahasa Arab. Implikasi kajian pula menjelaskan bahawa KBL seharusnya dijadikan elemen komunikasi yang wajib dikuasai oleh guru pelatih dan perlu diterapkan ke dalam program pendidikan guru. Satu kursus spesifik tentang KBL perlu dibina oleh pihak institusi yang menawarkan program pendidikan untuk guru pelatih semasa mereka mengikuti program perguruan tersebut. Kemahiran ini bukan sahaja dapat meningkatkan kompetensi guru pelatih dalam pengajaran Bahasa Arab malah memberi nilai tambah kepada mereka kerana Bahasa Arab bukan opsyen pilihan.
Affiliation:
- Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Malaysia
- Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Malaysia
- Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 124 time(s))