Kesediaan pelaksanaan penerapan elemen keusahawanan terhadap struktur kurikulum Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan Institut Pendidikan Guru Malaysia
Rosmani Ali1, Nor Aishah Buang2.
Kajian ini bertujuan mendapatkan pandangan pensyarah Institut Pendidikan Guru Malaysia yang mengajar Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan di institusi latihan berkenaan penerapan elemen keusahawanan dalam pelaksanaan struktur kurikulum Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Institut Pendidikan Guru di Malaysia. Kajian yang menggunakan reka bentuk kajian kes ini melibatkan tujuh orang peserta kajian yang dipilih melalui pensampelan bertujuan iaitu mereka yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar di IPG Zon Timur. Pengumpulan data dibuat melalui temu bual secara bersemuka dengan menggunakan protokol temu bual separa berstruktur. Data kualitatif ini dianalisis secara pendekatan analisis bertema dengan menggunakan perisian Atlas.ti versi 7.5.10. Tema yang diinterpretasikan disemak oleh rakan pengkaji dan ditriangulasi melalui peserta kajian. Dapatan menunjukkan pensyarah yang ditemu bual mempunyai pengetahuan dan kemahiran keusahawanan untuk kesediaan menerapkan elemen keusahawanan dalam pengajaran yang akan mereka laksanakan di bilik kuliah. Namun, mereka mencadangkan supaya lebih banyak pendedahan dan latihan berkenaan elemen keusahawanan diberikan supaya pelaksanaan penerapan elemen berkenaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Manakala dapatan daripada pelajar menunjukkan mereka kurang mendapat kefahaman tentang elemen keusahawanan secara keseluruhannya dan mencadangkan supaya semua pelajar pada tahun akhir diberi kursus pemantapan kefahaman berkaitan elemen keusahawanan. Hasil kajian ini menunjukkan satu bentuk latihan atau kursus jangka pendek perlu dibina bagi menjadi panduan kepada pensyarah dan pelajar di institusi latihan perguruan agar dapat diterapkan apabila mereka berkhidmat di sekolah nanti.
Affiliation:
- Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Malaysia
- Universiti Kebangsaan Malaysia, Malaysia
Download this article (This article has been downloaded 78 time(s))