Bimbingan dan penyeliaan praktikum fasa 1 oleh pensyarah penyelia terhadap guru pelatih ambilan Jun 2015: satu kajian empirikal
Norma Bajuria1, Norihan Mat Zin2, Rafidah Aziz3, Nik Azleena Nik Ismail4.
Kajian ini dilakukan untuk melihat sejauh mana aspek bimbingan dan penyeliaan bagi komponen perancangan, pelaksanaan dan pentaksiran dalam program praktikum dapat dilaksanakan dengan berkesan oleh para pensyarah penyelia. Sampelan kajian terdiri daripada 36 orang pensyarah penyelia serta 56 orang pelajar PISMP Ambilan Jun 2015 yang menjalani praktikum fasa 1 (unit PAI 15 orang, unit PSV 14 orang, unit Sejarah 15 Orang dan unit PJ 12 orang). Kajian ini dijalankan secara empirikal dengan menggunakan dokumen-dokumen penyeliaan dan bimbingan praktikum iaitu borang Refleksi Amalan Profesional (LAM PT05-12) dan borang PR1. Data dianalisis secara deskriptif iaitu melibatkan pendekatan kuantitatif. Data yang diperoleh menunjukkan guru pelatih sangat berpuas hati dengan bimbingan yang diberi oleh pensyarah penyelia dengan pencapaian min 4.92 berdasarkan borang Refleksi Amalan Profesional (LAM PT-05-12). Kecenderungan bimbingan pensyarah penyelia dalam aspek –aspek perancangan dilihat lebih berfokus kepada aspek menulis hasil pembelajaran dan isi pelajaran yang sesuai dengan hasil pembelajaran manakala dalam aspek-aspek pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran (PdPC) pula lebih menekankan kepada bimbingan dalam melaksanakan set induksi. Selain itu, bimbingan bagi aspek-aspek pentaksiran, pensyarah penyelia didapati lebih kerap untuk memberi ulasan sahaja tanpa memberi sebarang cadangan penambahbaikan kepada guru pelatih. Hasil dapatan ini diharapkan dapat meningkatkan kualiti dan fokus pensyarah penyelia dalam memberi bimbingan yang lebih bermakna kepada guru pelatih.
Affiliation:
- Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Malaysia
- Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Malaysia
- Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Malaysia
- Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Malaysia
Download this article (This article has been downloaded 96 time(s))