Analisis masalah matematik berayat dalam buku teks sekolah rendah
Aziz Omar1, Mazlan Ibrahim2, Rodhiana Rosli3.
Masalah matematik berayat merupakan masalah matematik yang dipersembahkan dalam bentuk penceritaan atau perkataan. Beberapa langkah diperlukan untuk menyelesaikan masalah matematik berayat tersebut. Kajian ini dijalankan dengan tujuan untuk menentukan bentuk dan konsep masalah matematik berayat tambah dan tolak (MMBTT) dalam buku teks Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kajian ini merupakan kajian berbentuk tinjauan dengan menggunakan semua MMBTT yang terdapat dalam buku teks sekolah rendah dari Tahun 1 hingga Tahun 5 sebagai dokumen rujukan. Analisis dokumen dijalankan untuk menentukan bentuk dan konsep yang wujud dalam MMBTT. Dapatan kajian menunjukkan terdapat 122 MMBTT (MMBTambah=60, MMBTolak=62) yang dikemukakan dalam buku teks matematik tersebut. Daripada keseluruhan MMBTT, terdapat 3 bentuk MMBTambah dan 3 bentuk MMBTolak. Dalam MMBTambah, bentuk pemboleh ubah akhir tidak diketahui merupakan masalah yang paling kerap wujud iaitu sebanyak 76.67%, diikuti oleh bentuk pemboleh ubah kedua tidak diketahui sebanyak 20% dan paling sedikit adalah bentuk pemboleh ubah pertama tidak diketahui sebanyak 3.33%. Dapatan terhadap konsep-konsep yang wujud menunjukkan konsep penyatuan merupakan konsep yang kerap wujud dalam MMBTambah iaitu 96.64% dan paling sedikit adalah konsep berapa perlu ditambah lagi iaitu sebanyak 3.3%. Bagi MMBTolak, konsep pengurangan (‘take away’) merupakan konsep yang paling banyak wujud, iaitu sebanyak 80.65%, konsep perbandingan sebanyak 11.29%, konsep penyekatan sebanyak 8.06% dan konsep berapa perlu ditambah lagi tidak dikemukakan dalam MMBTolak (0%). Dapatan ini menunjukan tidak berlaku keseimbangan dari segi bentuk dan konsep yang dikemukakan dalam MMBTT.
Affiliation:
- Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Malaysia
- Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Malaysia
- Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail, Malaysia
Download this article (This article has been downloaded 71 time(s))