Pandemik COVID-19 dalam persekitaran kanak-kanak menerusi Engkaulah Adiwiraku
Rohayati Junaidi1, Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali2, Madiawati Mamat@Mustaffa3.
Pandemik Coronavirus Disease 2019 (COVID-19) telah mempengaruhi keseluruhan aspek kehidupan masyarakat dunia. Namun, perubahan yang berlaku disebabkan COVID-19 lebih menjurus kepada mempengaruhi tingkah laku dan emosi kanak-kanak. Hal ini demikian kerana, kanak-kanak masih mentah dan memerlukan sokongan daripada persekitaran yang melingkunginya bagi berdepan perubahan yang berlaku. Bertitik-tolak daripada kesedaran tersebut, kajian terhadap Engkaulah Adiwiraku (2020) karya Helen Patuck terbitan Creative Commons Attribution-NonCommercial yang sarat dengan maklumat COVID-19 dijadikan sebagai fokus kajian. Buku tersebut merupakan projek oleh Agency Standing Committee Reference Group on Mental Health and Psychosocial Support in Emergency Settings (IASC MHPSS RG). Persekitaran yang difokuskan dalam kajian ini merangkumi ahli keluarga, rakan, guru, peraturan dan perubahan yang berlaku di sekeliling kanak-kanak. Setiap peristiwa yang digarap oleh pengarang dalam karya merupakan cerminan realiti masyarakat yang menghadapi situasi COVID-19. Engkaulah Adiwiraku (2020) dipilih kerana karya ini sarat dengan maklumat berkaitan dengan COVID-19 dan dihasilkan untuk golongan sasaran, iaitu kanak-kanak. Karya tersebut dianalisis dengan menggunakan Pendekatan Ekologi (2019) yang dibentuk hasil gabung jalin Teori Ekologi Bronfenbrenner (1979, 1986) dan Pendidikan Anak-anak dalam Islam (1988) oleh Abdullah Nasih Ulwan. Objektif kajian ini adalah menganalisis persekitaran dalam karya bagi melihat peranannya terhadap tingkah laku dan emosi kanakkanak. Kaedah yang digunakan dalam kajian ini ialah kaedah kepustakaan dan analisis teks. Dapatan kajian menunjukkan bahawa Engkaulah Adiwiraku (2020) memperlihatkan peranan penting setiap persekitaran untuk membantu dan memberi sokongan kepada kanak-kanak berdepan dengan perubahan yang berlaku disebabkan COVID-19. Kesimpulannya, karya yang dihasilkan dapat menyalurkan maklumat dan memberi hiburan kepada kanak-kanak ketika berdepan dengan pandemik COVID-19.
Affiliation:
- Universiti Malaya, Malaysia
- Universiti Malaya, Malaysia
- Universiti Malaya, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 78 time(s))