Peranan wanita dalam persembahan ritual pengubatan tradisional Magbuaya
Patta Ariffin Husin1, Sharifuddin Zainal2, Sim, Chea Cheang3.
Etnik Bajau yang menduduki Kampung Seloka Empat, Pulau Bum-Bum, Semporna masih mengekalkan dan mengamalkan adat istiadat tradisional amalan nenek moyang yang berpaksikan kepada amalan ritual pengubatan berbentuk tradisional. Amalan nenek moyang yang diamalkan sehingga kini menerapkan nilai-nilai penghormatan kepada kaum wanita kerana mereka dianggap sebagai satu identiti gender yang berwibawa dan suci. Permasalahan kajian yang didapati adalah berkaitan dengan peranan penting kaum wanita dalam persembahan ritual pengubatan tradisional seperti ritual pengubatan magbuaya. Selain itu, wanita memainkan peranan yang sangat penting dalam pelaksanaan persembahan ritual pengubatan tersebut. Ini disebabkan, persembahan ritual pengubatan tradisional magbuaya ini penting bagi wanita untuk menjadi tumpuan dalam keseluruhan proses pelaksanaan serta kelancaran persembahan ritual pengubatan tradisional magbuaya ini. Hal ini kerana, waris kalamat (bomoh) adalah seorang wanita yang akan meneruskan persembahan ritual pengubatan tradisional magbuaya ini. Selain itu, para pembantu utama kalamat adalah wanita dan para pembantu atau dikenali sebagai dayang ini akan dibantu oleh para wanita terpilih yang terdiri daripada ibu tunggal, janda atau balu sahaja. Selain itu, kertas kerja ini mengaplikasikan kaedah kajian etnografi bagi mendapatkan data yang lebih kukuh. Salah satu syarat yang paling penting dalam persembahan ritual pengubatan tradisional magbuaya adalah peranan tujuh orang wanita yang masih dara sebagai dayang-dayang. Dapatan kajian menemukan bahawa wanita sangat memainkan peranan penting dalam ritual pengubatan magbuaya kerana kemenjadian sesuatu proses pengubatan adalah ditentukan oleh kewujudan peranan wanita.
Affiliation:
- Universiti Malaysia Sabah, Malaysia
- Universiti Malaysia Sabah, Malaysia
- Universiti Malaysia Sabah, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 65 time(s))