Sistem kehakiman anak negeri Sabah dalam konteks pelaksanaan hukuman dan denda adat
Rafidah@Malissa Salleh1, Lenny James Matah2, Ku Mohd Amir Aizat Ku Yusof3.
Negeri Sabah terdiri dalam kalangan penduduk berbilang suku kaum dan hidup dalam keadaan aman sentosa. Bertunjangkan kepelbagaian ritual etnik, maka wujudnya sistem kehakiman anak negeri yang bertanggungjawab mendengar dan menyelesaikan kes-kes berkaitan adat resam penduduk asli Sabah atau lebih dikenali sebagai peribumi tanpa mengira anutan agama. Secara dasarnya terdapat tiga sistem kehakiman yang berbeza di Sabah iaitu sistem kehakiman sivil, sistem kehakiman Syariah dan sistem kehakiman Anak Negeri Sabah. Objektif kertas konsep ini disediakan adalah untuk meninjau latar belakang sistem kehakiman Anak Negeri Sabah, menghuraikan kepentingan sistem kehakiman tradisional kepada masyarakat peribumi Sabah, mengenal pasti sumber undang-undang dan jenis-jenis hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Anak Negeri Sabah (MAN) khususnya hukuman denda sogit serta membincangkan hubung kait di antara denda sogit dan masyarakat peribumi Sabah. Sogit merupakan denda adat yang melibatkan upacara mengorbankanhaiwan ternakan seperti kerbau, ayam atau khinzir di samping upacara ritual bagi menenangkan semangat makhluk ghaib dan roh-roh. MAN mempunyai bidang kuasa menjatuhkan hukuman sogit seandainya berlaku perlanggaran terhadap mana-mana adat masyarakat peribumi Sabah melalui peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 1992. Walau Sabah berdepan dengan arus pemodenan, namun masyarakat peribuminya masih mempertahankan tradisi adat resam, amalan pantang-larang dan juga hukuman sogit. Tuntasnya, kewujudan sistem kehakiman yang berteraskan amalan tradisi ini dilihat mampu memelihara kesantunan budi dan keluhuran adat dalam kalangan peribumi khususnya dan masyarakat setempat am nya.
Affiliation:
- UiTM Cawangan Sabah , Malaysia
- UiTM Cawangan Sabah , Malaysia
- UiTM Cawangan Sabah , Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 44 time(s))