View Article |
Kepelbagaian Penghasilan Warna Licau: Kajian Eksperimentasi Penggunaan Pelbagai Jenis Bahan Semulajadi di Sabah
Nor Asmidayu Mohamad Fauzi1, Ismail Ibrahim2.
Seramik merupakan objek seni yang tertua sekali pernah dihasilkan oleh manusia
sejak zaman pra sejarah lagi. Seramik terhasil dari tanah liat dan akan bertukar karakter
apabila didedahkan pada suhu yang tinggi melebihi 1200 darjah celsius (‘C). Produk seramik
diliputi dengan lapisan kekaca yang lebih dikenali sebagai licau dan mempunyai ketahanan
yang tinggi terhadap suhu atau haba. Penyelidikan ini adalah bertujuan untuk
mendokumentasikan penghasilan warna licau secara sistematik menggunakan jenis sampel
ujikaji iaitu batu Sungai Moyog, kayu bakau, rumpai laut, keladi dan cengkerang pada
permukaan jasad spesimen yang dihasil menggunakan kaolin. Selain itu, penyelidikan ini juga
bertujuan untuk mengenalpasti tindakbalas sampel ujikaji menggunakan campuran peratusan
yang berbeza menggunakan formula “Triaxial Line Blend” terhadap permukaan kaolin yang
melibatkan aspek bahan, jenis pembakaran dan teknik-teknik dekorasi. Penghasilan warna
licau menggunakan bahan semulajadi iaitu batu Sungai Moyog, kayu bakau, rumpai laut,
keladi dan cengkerang yang terdapat di sekitar Ranau, Kota Kinabalu, Sabah merupakan satu
pembaharuan dalam penghasilan warna bersumberkan bahan semulajadi serta usaha bagi
memajukan industri seramik di Malaysia. Ia lebih kepada penghasilan bahan semulajadi yang
telah mengalami proses penghasilan sehingga mengeluarkan warna licau yang baru. Kajian
awal menggunakan sampel dari agen warna seperti batu Sungai Moyog, kayu bakau, rumpai
laut, keladi dan cengkerang telah dijalankan secara eksperimen. Penyelidikan tersebut
merangkumi penyediaan dan formulasi licau dengan menggunakan bahan tersebut sehingga
ia berjaya mengeluarkan warna mengikut tindak balas suhu dan jenis pembakaran yang telah
dilaksanakan. Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk mengkaji kesesuaian warna licau
pada permukaan produk seramik seperti kaolin. Kesimpulannya, melalui kajian yang
dilakukan kita akan lebih memahami tentang proses-proses serta cara bagaimana untuk
menghasilkan warna licau dalam industri seramik dengan menggunakan bahan semulajadi
yang terdapat di persekitaran. Melalui kajian ini juga, ia dapat mengenalpasti bahan mineral yang terdapat dalam bahan ujikaji yang mempengaruhi tindakbalas dalam penghasilan warna
licau seramik.
Affiliation:
- Universiti Malaysia Sabah, Malaysia
- Universiti Malaysia Sabah, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 60 time(s))
|
|
Indexation |
Indexed by |
MyJurnal (2021) |
H-Index
|
0 |
Immediacy Index
|
0.000 |
Rank |
0 |
|
|
|