Hipoteks sebagai idea penggaluran naratif dalam novel berunsur sejarah Tun Tuah
Mohammad Yusoff, M. H1, Md Ali, R2, Awang Deng, P3.
Jurai kesusasteraan tanah air tidak terlepas daripada melalui proses pengembangan yang panjang. Teks sastera sejarah seperti Sejarah Melayu lahir dalam memerihalkan kehidupan serta kebudayaan masyarakat di samping mendokumentasikan peristiwa-peristiwa bersejarah yang berlaku pada masa lampau. Marcapada, novel berunsur sejarah pula lahir dalam memerihalkan peristiwa sejarah dari perspektif pengarang pada zaman semasa. Makalah ini menumpukan penelitian terhadap hubungan antara peristiwa yang terkandung dalam hipoteks sejarah sebagai pembinaan naratif dalam penulisan novel. Novel berunsur sejarah Tun Tuah karya Affifuddin Omar dan naskhah Sejarah Melayu edisi Shellabear dibataskan sebagai teks kajian bagi memperkhususkan penelitian dan memberi fokus pada objektif penelitian yang hendak dicapai. Penelitian ini bersifat pendekatan kualitatif yang memerlukan pembacaan rapi terhadap kedua-dua buah naskhah yang terlibat sebelum menjalankan analisis kandungan dan dihuraikan secara deskriptif. Tuntasnya, sebagai sebuah novel berunsur sejarah, novel Tun Tuah menyerap peristiwa-peristiwa yang pernah dikisahkan dalam naskhah hipoteks sejarah, iaitu Sejarah Melayu, namun dengan sentuhan baharu oleh pengarang. Pengarang menjadikan teks Sejarah Melayu sebagai sumber pembinaan naratif dalam novel Tun Tuah. Penelitian terhadap novel Tun Tuah menemukan kecenderungan Affifuddin Omar sebagai pengarang dalam menggembleng teks Sejarah Melayu sebagai strategi kepengarangannya.
Affiliation:
- Universiti Utara Malaysia, Malaysia
- Universiti Utara Malaysia, Malaysia
- Universiti Utara Malaysia, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 39 time(s))