Pengetahuan Akidah dan Amalan Ibadah Pelajar Sekolah Menengah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan
Muhamad Zaki Zainuddin1, Khadijah Abdul Razak2.
Akidah merupakan satu ikatan kepercayaan dan keyakinan yang kuat antara makhluk dan Pencipta. Akidah mestilah dizahirkan dalam bentuk tindakan iaitu ibadah. Ibadah membantu individu muslim mengawal dirinya daripada terlibat dengan unsur-unsur salah laku disiplin dan jenayah. Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengkaji tahap pengetahuan akidah dan hubungannya dengan amalan ibadah pelajar. Pengetahuan akidah pelajar dalam kajian ini adalah berkaitan dengan persoalan rukun iman yang merupakan asas pegangan umat Islam. Sehubungan itu, pengetahuan tentang akidah diukur melalui kemampuan pelajar memahami rukun Iman manakala amalan ibadah pelajar pula melibatkan amalan solat fardu, membaca al-Quran dan berpakaian menutup aurat. Kajian tinjauan ini ditadbir secara dalam talian di dua buah sekolah menengah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan melibatkan 66 orang pelajar. Instrumen soal selidik dibina melalui proses adaptasi daripada kajian-kajian lepas. Penganalisisan data dilakukan menggunakan analisis statistik deskriptif dan inferensi menggunakan min dan sisihan piawai, korelasi Pearson menggunakan perisian SPSS. Dapatan kajian menunjukkan bahawa tahap pengetahuan akidah dan amalan ibadah pelajar berada pada tahap tinggi dengan skor min 4.69 dan 3.94. Hubungan yang signifikan pada tahap sederhana di antara pengetahuan akidah (r=0.45 p<0.01) dengan amalan ibadah pelajar dapat dilihat melalui keputusan analisis kolerasi Pearson. Hasil kajian ini diharap dapat memberi input dan inspirasi kepada guru pendidikan Islam (GPI) supaya memaksimumkan penggunaan teknologi terkini dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran akidah dan ibadah. Aktiviti-aktiviti sokongan akademik juga perlu dipelbagaikan untuk meningkatkan penghayatan akidah, amalan solat fardu, membaca al-Quran dan menutup aurat dalam kalangan pelajar dalam usaha untuk mengekang penglibatan remaja dalam salah laku jenayah.
Affiliation:
- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 43600 Bangi, Selangor, Malaysia., Malaysia
- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 43600 Bangi, Selangor, Malaysia., Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 26 time(s))