Faktor-faktor kejayaan kritikal bagi koperasi penanam sawit mampan di Malaysia
Frank Me-ol1, Yusman Yacob2, Siti Maimunah Jerni3, Mohd Suandi Mortadza4, Syarifah Rohaya Wan Idris5, Vronica Kumang Lawrence6.
Secara umumnya prestasi koperasi penanam sawit mampan (KPSM) masih pada tahap yang rendah,
kerana hanya sebilangan kecil dalam kalangan KPSM menunjukkan prestasi yang memuaskan.
Beberapa kajian terdahulu telah mengenal pasti faktor-faktor kritikal yang menyumbang kepada
kejayaan sesebuah perniagaan. Faktor-faktor tersebut berkaitan dengan aspek pengurusan,
strategi, lokasi, kewangan, pelanggan dan pasaran, pengalaman dan sokongan persekitaran
luaran. Namun, tiada satu pun antara kajian tersebut yang menjurus kepada koperasi perladangan
kelapa sawit. Bagi mengisi kekurangan ini, kajian ini telah dijalankan untuk mengenal pasti
faktor-faktor kejayaan kritikal bagi perniagaan KPSM menggunakan pendekatan kaedah kualitatif.
Enam KPSM dipilih bagi kajian ini, iaitu dua dari setiap kawasan kajian - Sabah, Sarawak
dan Semenanjung Malaysia. Setiap kawasan kajian diwakili oleh koperasi yang mempunyai
jumlah perolehan tertinggi dan satu lagi mempunyai jumlah perolehannya terendah. Kajian
ini juga melibatkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Suruhanjaya Koperasi
Malaysia (SKM) sebagai peserta kajian. Seramai 24 orang responden dipilih daripada lapan
buah organisasi terlibat menggunakan kaedah persampelan bertujuan. Data diperolehi melalui
temu bual bersemuka berpandukan protokol supaya semua temu bual dilaksanakan dengan
konsisten. Data dianalisis menggunakan kaedah analisis bertema (thematic) yang merangkumi
tiga tahap pengkodan, iaitu pengkodan terbuka, berpaksi dan terpilih. Hasil analisis mengenal
pasti tujuh faktor kejayaan kritikal yang menyumbang kepada kejayaan KPSM. Faktor-faktor
tersebut ialah komitmen, gaya pengurusan, pengurusan persaingan, pengurusan kewangan,
pengurusan operasi, pengurusan fasiliti dan sokongan persekitaran luaran. Seterusnya, model
faktor kejayaan kritikal dibina untuk memperlihatkan hubungkait antara faktor-faktor kritikal
tersebut dan faedah hasil penubuhan KPSM.
Affiliation:
- Institut Koperasi Malaysia, Malaysia
- Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Mukah, Sarawak, Malaysia
- Institut Koperasi Malaysia, Malaysia
- Institut Koperasi Malaysia, Malaysia
- Institut Koperasi Malaysia, Malaysia
- Institut Koperasi Malaysia, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 50 time(s))