Program Linus Bahasa Melayu: Beberapa kelemahan dalam penilaian dan cadangan penambahbaikan
Mohamad Rozi Kasim1.
Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti kelemahan yang terdapat dalam 12 konstruk penilaian kemahiran membaca LINUS bahasa Melayu. Setelah meneliti kelemahan-kelemahan yang wujud, kajian ini memberikan cadangan untuk penambahbaikan konstruk tersebut. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif deskriptif dengan melibatkan kajian kepustakaan terhadap 12 konstruk penilaian kemahiran membaca LINUS dan mengaplikasikan teori pengsukukataan bahasa Melayu yang diubah suai daripada teori pengsukukataan Goldsmith (2011). Hasil kajian ini menunjukkan terdapat dua kelemahan yang wujud dalam 12 konstruk penilaian tersebut, iaitu penilaian kemahiran membaca suku kata tertutup (Konstruk 4 dan 5), dan penilaian kemahiran membaca konsonan /ng/ (Konstruk 6). Konstruk 4 dan 5 tidak menghuraikan secara jelas bentuk suku kata tertutup yang perlu dikuasai oleh murid, manakala Konstruk 6 sepatutnya dimasukkan dalam konstruk suku kata terbuka atau suku kata tertutup kerana /ng/ merupakan konsonan sama seperti konsonan-konsonan lain. Oleh itu, kajian ini telah memberikan cadangan supaya guru-guru menggunakan Jadual 1 dalam kajian ini yang menyenaraikan kesemua bentuk suku kata tertutup bahasa Melayu. Senarai bentuk suku kata tertutup tersebut akan membantu dan memudahkan guru-guru untuk melakukan proses penilaian dan intervensi kepada murid-murid LINUS. Hal ini sekaligus menyebabkan proses penilaian dan intervensi dapat dilakukan dengan tepat dan berfokus.
Affiliation:
- Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 21 time(s))