Hubungan etnik di Sabah: Satu kajian terhadap cerpen-cerpen terpilih penulis Sabah
Asmiaty Amat1.
Masyarakat peribumi di Sabah dikategorikan kepada Dusunkadazan, Bajau, Murut dan lain-lain serta ‘kelompok bumiputera lain’ seperti Jawa, Bugis dan Suluk, dan juga apa yang dinamakan ‘etnik-etnik lain’. Kepelbagaian etnik yang cukup rencam ini tidak sama dengan yang wujud di Semenanjung Malaysia yang hanya ditandai dengan tiga kaum yang besar, iaitu Melayu, Cina dan India. Oleh hal yang demikian, hubungan antara kaum atau etnik di Sabah bersifat mikro, iaitu antara etnik dan juga intra-etnik, iaitu hubungan antara etnik peribumi/bumiputera Sabah dengan orang Melayu di Sabah atau dari Semenanjung, Cina, atau orang Eropah. Hubungan antara etnik di Sabah dikatakan pelbagai pihak sebagai harmoni, namun persepsi dan sangsi sosial antara etnik-etnik tersebut tetap wujud walaupun dalam bentuk yang tidak serupa seperti di Semenanjung Malaysia. Kajian tekstual tematik menggunakan sosiologi sastera ini meneliti cerpen-cerpen yang terbit dalam majalah WADAH sejak tahun 1980-an hingga 2017 serta cerpen dalam Kumpulan cerpen Pugai Balabak, kumpulan cerpen Singkowoton (Azmah Nordin), Pangkot dan Selamat Tinggal Sabah (Raymond Majumah), Hering (Faridah Abdul Halim), dan Tangis Buliga (Kathirina Tati). Dapatan kajian menunjukkan bahawa hubungan etnik bukan menjadi isu yang seringkali ditonjolkan atau diperbesarkan tetapi ia tetap wujud sebagai satu paparan realiti sosial yang perlu diperhatikan. Sangsi sosial lebih menjurus kepada isu agama dan kepercayaan serta persepsi terhadap orang luar yang turut dikaitkan dengan agama. Selebihnya menjurus pada isu ekonomi yang hampir sama dengan apa yang wujud di Semenanjung, persepsinya bahawa etnik Cina mendominasi ekonomi menerusi penipuan hingga mencetuskan konflik.
Affiliation:
- Universiti Malaysia Sabah, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 20 time(s))