Penentuan tingkat kekerabatan dan abad pisah antara bahasa Melayu dengan bahasa Murut Tahol: penerapan kaedah glotokronologi
Mohd Khaidir Abdul Wahab1.
Etnik Murut mempunyai banyak sub seperti Tahol atau Tagal, Paluan, Baukan, Timugon, Kolod, Naabai, Sembakung, Serudung, Kalabakan dan sebagainya. Masyarakat Murut Tahol merupakan sub yang terbesar dalam kaum Murut. Suku kaum Murut Tahol kebanyakannya menetap di daerah Nabawan suatu daerah pedalaman yang terletak di bahagian selatan negeri Sabah. Kajian ini akan meneliti hubungan kekerabatan dan abad pisah antara bahasa Murut Tahol dengan bahasa Melayu melalui cara penyenaraian kosa kata asas kedua-dua bahasa tersebut dengan menggunakan kaedah perbandingan leksikostatistik dan penerapan kaedah glotokronologi. Kaedah ini dapat menentukan kadar peratusan kata berkerabat dengan cara menghitung jumlah kosa kata berkognat melalui penelitian secara kualitatif aspek retensi dan inovasi. Tinjauan dan penyenaraian kosa kata asas bahasa ini akan memanfaatkan senarai 200 kata Morris Swadesh. Namun begitu, kajian ini hanya meneliti perubahan bahasa dan bukannya bertujuan untuk memperoleh gambaran bahasa proto kedua-dua bahasa tersebut. Daripada 196 kosa kata yang dibandingkan, terdapat sebanyak 56 kosa kata bahasa Murut Tahol yang menyamai atau berkognat dengan bahasa Melayu. Peratus kekerabatan pula menunjukkan jumlah sebanyak 28.57 peratus. Berdasarkan peratusan kata berkerabat, bahasa Murut Tahol dan bahasa Melayu berada pada tingkat kekerabatan rumpun, iaitu peratus kata kerabat antara 12 hingga 36 peratus (Gudschinsky, 1964) dan peratus kata kerabat antara 24 hingga 45 peratus (Keraf, 1984; Asmah Omar, 2008). Abad pisah antara bahasa Murut Tahol dan bahasa Melayu diandaikan berlaku antara abad ke-8 SM hingga abad ke-13 SM. Oleh itu, kajian ini menjelaskan bahawa kaedah leksikostatistik dan glotokronologi dapat digunakan sebagai satu kaedah yang relevan dalam menentukan tingkat kekerabatan dan lama waktu sesuatu bahasa khususnya bahasa-bahasa Austronesia.
Affiliation:
- Universiti Sains Malaysia, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 23 time(s))