Daya ujaran dalam wacana perutusan Perdana Menteri mengenai COVID-19
Tengku Shahrolnizam Tengku Yahya1, Rohaidah Haron2.
Satu daripada aspek bahasa yang penting dibincangkan dalam penelitian sesebuah wacana ialah daya ujaran. Daya ujaran bukan sekadar dikaitkan dengan unsur tekstual dalam teks ataupun penyampaian mesej secara berkesan tetapi lebih daripada itu. Daripada perspektif analisis wacana, daya ujaran dikaitkan fungsi ujaran yang membentuk sesebuah wacana. Bertepatan dengan wacana perutusan, penggemblengan daya ujaran oleh pewacana menggambarkan hasrat, sikap, dan tindakan beliau selaku Perdana Menteri Malaysia dalam usaha menangani pandemik COVID-19 yang melanda negara. Sehubungan dengan itu, makalah ini bertujuan untuk mengenal pasti daya ujaran yang wujud dalam perutusan khas Perdana Menteri mengenai COVID-19. Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk menganalisis daya ujaran sebagai suatu bentuk penyampaian mesej dalam perutusan khas Perdana Menteri mengenai COVID-19. Kaedah kajian yang diterapkan dalam penelitian aspek daya ujaran ini ialah analisis tekstual. Dengan berpandukan konsep daya ujaran (speech act) oleh Fairclough (1989), penulis mendapati wujud lima bentuk daya ujaran yang telah digembleng oleh pewacana dalam perutusan beliau, iaitu daya ujaran doa, daya ujaran peringatan (amaran), daya ujaran suruhan, daya ujaran pernyataan dan daya ujaran ajakan. Kelima-lima bentuk daya ujaran ini telah digembleng oleh pewacana terutama dalam memastikan kebolehsampaian maklumat berkaitan COVID-19 kepada rakyat. Keupayaan pewacana memanfaatkan aspek bahasa seperti daya ujaran secara tidak langsung menunjukkan bahawa keberkesanan sesuatu wacana amat bergantung pada sejauh mana aspek-aspek bahasa digembleng atau disusun oleh pewacana.
Affiliation:
- Universiti Malaya, Malaysia
- Universiti Malaya, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 37 time(s))