Pengambilan giliran dalam sidang media COVID-19 Kementerian Kesihatan Malaysia
Shamin Sharif1, Mohd Khaidir Abdul Wahab2, Rozaida Abdul Rauf3.
Pengambilan giliran merupakan unit paling asas dalam sesebuah perbualan. Setiap perbualan mempunyai struktur interaksi yang tersendiri. Kajian ini akan mengenal pasti dan membincangkan mengenai pengambilan giliran dalam sidang media COVID-19 Kementerian Kesihatan Malaysia dengan memfokuskan kepada dua sidang media COVID-19 iaitu pada 17 April 2020 dan 24 Oktober 2020. Sidang media ini melibatkan dua sesi namun fokus kajian adalah pada sesi kedua di mana ia melibatkan proses tanya jawab antara pemeran iaitu pihak kerajaan dan pihak wartawan. Kajian kualitatif dimanfaatkan dalam kajian ini melalui analisis kandungan teks. Kaedah pengumpulan data bagi kajian ini ialah melalui muat turun data dan kemudiannya, ujaran tersebut ditranskripsi serta disimpan dalam bentuk teks bertulis. Perbincangan kajian pula mengaplikasikan teori Analisis Perbualan oleh Liddicoat (2011) yang telah menggariskan tiga peraturan iaitu penutur semasa memilih penutur berikutnya, pemilihan diri sendiri sebagai penutur berikutnya dan penutur semasa meneruskan perbualan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa ketiga-tiga peraturan pengambilan giliran iaitu penutur semasa memilih penutur berikutnya, pemilihan diri sendiri sebagai penutur berikutnya dan penutur semasa meneruskan perbualan dipatuhi oleh pemeran dalam sidang media COVID-19 KKM. Dalam peraturan pengambilan giliran, penutur semasa memilih penutur berikutnya mendominasi peraturan lain. Di samping itu, penggunaan bahasa dalam konteks kesantunan berbahasa juga dititikberatkan oleh pemeran melalui pengambilan giliran pada sidang media ini. Oleh itu, kepatuhan pengambilan giliran dalam kalangan pemeran dapat memastikan keberkesanan penyampaian maklumat dalam sidang media COVID-19 di Malaysia.
Affiliation:
- Universiti Sains Malaysia, Malaysia
- Universiti Sains Malaysia, Malaysia
- Universiti Sains Malaysia, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 12 time(s))