Keberkesanan Model PLTP Dalam Pembelajaran Kursus Matematik Di Kolej Komuniti Kuala Terengganu
Salina Mohmed1.
Model Perimeter, Luas, & Teorem Pithagoras (PLTP) adalah alat bantu mengajar dalam proses pembelajaran dan pengajaran Kursus Matematik di Kolej Komuniti Kuala Terengganu. Model ini digunakan dalam subtopik Perimeter, Luas dan Teorem Pithagoras. Kajian ini dibuat untuk mengenalpasti keberkesanan model tersebut. Kajian ini berbentuk kuasi eksperimen dengan reka bentuk Kumpulan Kawalan Tidak Serupa (Nonequivalent Control Group). Kajian ini menggunakan persampelan seluruh populasi. Semua pelajar semester dua Program Sijil Servis Kenderaan Ringan (SKR) sesi Disember 2019 dijadikan sampel kajian. Kelas SKR 2A seramai 18 orang ditentukan sebagai kumpulan eksperimen dengan Model PLTP sebagai bahan intervensi manakala kelas SKR 2B seramai 22 orang ditentukan sebagai kumpulan kawalan. Instrumen Ujian Pra dan Ujian Pos digunakan untuk mengukur hasil pembelajaran pelajar. Perbandingan nilai min Ujian Pra digunakan untuk menjawab persoalan kajian yang pertama manakala statistik non-parametrik menggunakan Ujian Mann-Whitney digunakan untuk menjawab persoalan kajian berikutnya. Dapatan kajian menunjukkan: (1) tidak terdapat perbezaan tahap pengetahuan sedia ada pelajar sebelum permulaan topik (ujian pra), (2) terdapat perbezaan hasil pencapaian pelajar dalam Kursus Matematik antara pelajar yang mengikuti kaedah pembelajaran menggunakan model PLTP dengan pelajar yang mengikuti kaedah pembelajaran secara konvensional. Secara keseluruhannya, Model PLTP yang diperkenalkan dapat memberi kesan kepada hasil pembelajaran matematik. Dapatan kajian ini membawa implikasi yang bermakna kepada pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam perancangan dan pelaksanaan kurikulum matematik. Diharapkan model PLTP ini dapat memberi manfaat dan dijadikan sumber rujukan oleh pensyarah lain yang mengajar matematik untuk menggunakan model ini dalam proses penyampaian pembelajaran dan pengajaran mereka agar tahap penguasaan konsep asas matematik pelajar kolej komuniti meningkat seterusnya membantu pelajar terbabit apabila melanjutkan pelajaran ke Politeknik atau Universiti.
Affiliation:
- Kolej Komuniti Kuala Terengganu, Malaysia
Download this article (This article has been downloaded 27 time(s))