Tahap Profesionalisme Guru Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Terhadap Amalan Perancangan Pengajaran
Norhisham Muhamad1, Nur Haiza Izhar2.
Kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti tahap profesionalisme guru sekolah rendah agama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) terhadap amalan perancangan pengajaran. Secara umumnya, reka bentuk kajian ini adalah kajian kuantitatif dan instrumen kajian yang digunakan adalah set soal selidik. Di samping itu, bilangan sampel kajian yang terlibat adalah seramai 274 responden yang terdiri daripada guru-guru Sekolah Rendah Agama (SRA) JAWI di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Data dianalisis secara deskriptif menggunakan perisian SPSS, versi 22 untuk mendapatkan kekerapan, peratus, min dan sisihan piawai. Dapatan kajian menunjukkan tahap profesionalisme guru SRA-JAWI di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berdasarkan amalan perancangan pengajaran berada pada tahap tinggi (M=4.40, SP=0.32). Kajian ini diharap menjadi panduan kepada guru-guru yang lain dalam usaha menambahbaik amalan perancangan pengajaran dalam bidang masing-masing dan mampu menghasilkan pengajaran yang berkesan dan berkualiti. Kualiti amalan perancangan pengajaran guru SRA-JAWI di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur perlu dikekalkan agar kecemerlangan pendidikan berterusan dan mampu berdaya saing di persada antarabangsa.
Kata kunci: Tahap Profesionalisme, Guru Pendidikan Islam, Sekolah Rendah Agama, Amalan Perancangan Pengajaran
Affiliation:
- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Malaysia
- Kementerian Pendidikan Malaysia, Malaysia
Toggle translation