Alat Rubber Grip membantu meningkatkan kemahiran pratulis kanak-kanak
Noorashikin Edin1, Hashimah Hashim2, Mohd Azmi Mat Yusoff3, Noraida Omar4.
Di dalam dokumen Permata Negara (2008) pada Hasil Pembelajaran fizikal dan psikomotor kanak-kanak 2 hingga 3 tahun, jelas menyatakan bahawa pada usia tersebut kanak-kanak boleh/dapat memegang alatulis dengan betul. Manakala di dalam dokumen Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (Semakan 2017) pada tunjang komunikasi bahasa Melayu di dalam Standard Pembelajaran BM3.1.1 juga menyatakan hal yang sama. Ini membuktikan bahawa kemahiran menguasai pratulis merupakan perkara asas yang penting bermula hanya dengan memegang alatulis tersebut. Namun, mengajar kanak-kanak memegang alatulis bukanlah perkara yang mudah kerana melibatkan penguasaan kemahiran koordinasi mata-tangan dengan baik. Jika tidak ditangani dengan betul kanak-kanak boleh mengamuk dan ibu bapa/guru juga cenderung putus asa. Hal ini mungkin menjadi lebih sukar jika kanak-kanak sudah mencapai satu posisi yang ‘pelik’ untuk memegang alatulis. Kajian ini merupakan kajian tindakan yang bertujuan untuk membantu kanak-kanak meningkatkan kemahiran pratulis dengan menggunakan alat Rubber Grip. Responden terdiri daripada tiga orang kanak-kanak prasekolah yang mengalami masalah pratulis memegang pensel dengan betul. Dapatan kajian menunjukkan dengan menggunakan alat Rubber Grip telah dapat membantu responden menangani isu pratulis dalam masa hanya seminggu sahaja. Justeru adalah disarankan agar kanak-kanak dilatih memegang alatulis dengan cara yang betul sedari awal seperti yang dinyatakan di dalam dokumen Permata Negara (2008).
Affiliation:
- Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Malaysia
- Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Malaysia
- Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Malaysia
- Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Malaysia
Download this article (This article has been downloaded 25 time(s))