Sokongan pentadbir sekolah dalam pencapaian matematik Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Ketidakupayaan Pendengaran
Liong, Kon Thai1, Johanes Bulot@Bulat2.
Pencapaian matematik Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) Ketidakupayaan Pendengaran (KP) adalah pada tahap rendah. Oleh kerana matematik merentasi pelbagai disiplin dan memenuhi keperluan dalam kehidupan harian, maka kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti tahap sokongan pentadbir sekolah terhadap pencapaian matematik MBPK KP daripada lima aspek iaitu penyelenggaraan kemudahan infrastruktur, persekitaran pembelajaran matematik, kemudahan alat pengajaran dan pembelajaran (PdP), iklim sekolah, serta pentadbiran dan pengurusan program pendidikan khas serta kekangan-kekangan yang dihadapi dalam pembelajaran matematik mereka. Kaedah gabungan penjelasan (mix method explanatory) digunakan dan 72 orang pentadbir sekolah dipilih secara persampelan rawak daripada 20 buah Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas program KP. Soal selidik dan protokol temu bual digunakan untuk mengumpul data manakala data dianalisis menggunakan analisis deskriptif dan tematik. Hasil kajian mendapati tahap sokongan pentadbir sekolah terhadap pencapaian matematik MBPK KP adalah pada tahap tinggi (min=3.71, s.p=0.44) kecuali penyelenggaraan kemudahan infrastruktur dan menyediakan persekitaran pembelajaran matematik yang berada pada tahap sederhana. Dapatan kajian menunjukkan beberapa kekangan pembelajaran matematik MBPK KP iaitu kesesuaian kandungan kurikulum matematik, bentuk pentaksiran, buku bahasa isyarat matematik, komitmen panitia matematik dalam PdP serta penglibatan ibu bapa. Justeru, Bahagian Pendidikan Khas Kementerian Pendidikan Malaysia secara khususnya perlu melakukan transformasi dalam pelaksanaan pendidikan khas untuk mempertingkatkan pencapaian matematik MBPK KP.
Affiliation:
- Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau, Malaysia
- Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau, Malaysia
Download this article (This article has been downloaded 29 time(s))