Sifat mekanik dan biodegradasi biokomposit poli(asid laktik)
Nor Shafiqah Mohd1, Noor Afizah Rosli2, Wan Hafizi Wan Ishak3, Ishak Ahmad4.
Kajian ini dijalankan untuk membandingkan sifat poli(asid laktik) (PLA) dengan penambahan selulosa mikrohablur (MCC) dan selulosa amorfus (AC). AC telah disediakan melalui proses pengisaran selulosa menggunakan bebola pengisar. Perbezaan antara MCC dan AC yang dihasilkan dibuktikan melalui mikroskopi imbasan elektron pancaran medan (FESEM), spektroskopi jelmaan Fourier infra-merah (FTIR) dan pembelauan sinar-X (XRD). Filem biokomposit disediakan dengan mencampurkan PLA dan selulosa dalam pelbagai komposisi pengisi (0-10 %berat) melalui kaedah penuangan larutan. Sifat mekanik biokomposit dikaji melalui ujian regangan. Keputusan yang diperoleh menunjukkan bahawa penambahan pengisi meningkatkan kekuatan regangan yang ketara dengan komposisi optimum pada penambahan 6% dan 8% untuk komposisi diperkuat MCC dan AC masing-masing. Sifat biodegradasi dan permukaan biokomposit PLA dikaji masing-masing melalui ujian penguraian dalam tanah dan mikroskop optik. Pada hari ke-56 sampel ditanam, mikrograf permukaan biokomposit PLA-AC menunjukkan perubahan yang paling ketara berbanding biokomposit PLA-MCC dan PLA. Peningkatan sifat biokomposit dengan penambahan AC adalah disebabkan oleh pembentukan ikatan hidrogen antara selulosa dan PLA yang dibuktikan melalui analisis FTIR. Keseluruhan kajian mendapati sifat mekanik dan biodegradasi bagi biokomposit PLA telah ditingkatkan dengan penambahan pengisi selulosa terutamanya selulosa amorfus ke dalam fasa PLA.
Affiliation:
- Universiti Kebangsaan Malaysia, Malaysia
- Universiti Kebangsaan Malaysia, Malaysia
- Universiti Kebangsaan Malaysia, Malaysia
- Universiti Kebangsaan Malaysia, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 17 time(s))