Cabaran Wanita Bekerjaya dalam Mengurus Rumahtangga di Era Pandemik Covid-19
Nur Hasanah Ishar1, Ku Putri Liliana Ku Abd Halim2.
Penglibatan wanita masa kini semakin meluas dalam pembangunan ekonomi negara daripada pelbagai sektor berbanding dahulu sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Pada Mac 2020, kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan ‘Perintah Kawalan Pergerakan’ (PKP) berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia bagi mengekang penularan wabak ini. Pelaksanaan PKP ini telah memberi impak terhadap masyarakat termasuklah golongan wanita yang bekerjaya. Ada sebahagian industri terpaksa dihentikan seketika dan ada juga yang diarahkan bekerja dari rumah. Ini telah menjadi norma baharu bagi kebanyakan pekerja termasuklah pekerja wanita. Namun, situasi ini sudah tentu menjadi lebih mencabar bagi golongan wanita dalam memenuhi komitmen sebagai pekerja dan pengurus rumahtangga. Justeru, artikel ini bertujuan untuk mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh golongan ini dalam mengurus rumahtangga di era pandemik Covid-19. Metodologi kajian yang digunakan ialah kualitatif dengan menggunakan reka bentuk analisis kandungan. Manakala pengumpulan data dilakukan melalui analisis kandungan daripada jurnal, akhbar, buku dan laporan bertulis. Hasil kajian mendapati terdapat beberapa cabaran dihadapi yang boleh dilihat daripada aspek fizikal dan mental. Antara cabaran ini adalah seperti masalah kewangan, pengurusan masa yang kurang berkesan, penjagaan anak dan bebanan kerja. Manakala cabaran daripada aspek mental yang dihadapi antaranya adalah tekanan emosi dan perasaan. Justeru, sistem sokongan dan bantuan sedia ada perlu menjurus kepada penambahbaikan bagi menjamin kesejahteraan rumahtangga selaras dengan konsep Dasar Keluarga Negara (DKN).
Affiliation:
- 55100 Kuala Lumpur, Malaysia, Malaysia
- 55100 Kuala Lumpur, Malaysia, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 16 time(s))