Analisis kompetensi anggota lembaga koperasi menggunakan model pengukuran Rasch
Adila Hashim1, Nur Yazira Hamsan2, Siti Nuraini Abu Bakar3, Azianti Ismail4.
Kompetensi merupakan keupayaan atau kemampuan seseorang untuk menjalankan tugas atau
kerja dengan baik. Penelitian berkenaan kompetensi anggota lembaga koperasi (ALK) masih
kurang dijalankan dan dengan adanya penelitian ini diharap dapat membantu pihak koperasi
untuk memperkasakan kompetensi diri serta boleh dijadikan usaha untuk melonjakkan prestasi
koperasi. Kajian ini dijalankan ke atas 420 orang responden yang memegang jawatan sebagai
Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari dari koperasi berdaftar di Malaysia. Kajian kuantitatif
ini bertujuan untuk menganalisis tahap kompetensi semasa ALK dan juga untuk menganalisis
jurang kompetensi yang bercirikan kepada lima bidang utama pengurusan iaitu (i)pengurusan dan
pentadbiran, (ii)pengurusan kewangan, (iii)pengurusan strategik, (iv)pengurusan tadbir urus, dan
(v)pengurusan perniagaan. Data kajian dikumpulkan dengan menggunakan borang soal selidik
dan dianalisis menggunakan Model Pengukuran Rasch dengan Winstep 5.2.2.0. Hasil analisis
kajian mendapati seramai 211 orang responden (50.2 peratus) memiliki kompetensi tinggi, 170
orang responden (40.5 peratus) memiliki kompetensi sederhana, dan 39 orang responden (9.3
peratus) memiliki kompetensi rendah. Melalui penelitian kajian ini juga mendapati bidang tugas
pengurusan kewangan merupakan bidang pengurusan yang paling sukar untuk dilaksanakan oleh
ALK. Implikasi kajian ini mencadangkan kursus yang bersesuaian dengan jurang kompetensi
ALK dan diharap seterusnya dapat menjadi input penambahbaikan kepada kekurangan dalam
kompetensi bagi tiga jawatan utama dalam koperasi. Kajian lanjut berkenaan kompetensi ALK
ini boleh menjurus dengan lebih kritis berkenaan elemen yang terdapat dalam bidang pengurusan
utama koperasi yang mempunyai tahap kesukaran tertinggi agar jurang kompetensi dapat dikenal
pasti dan dibaiki dari masa ke masa.
Affiliation:
- Institut Koperasi Malaysia, Malaysia
- Institut Koperasi Malaysia, Malaysia
- Institut Koperasi Malaysia, Malaysia
- Universiti Teknologi MARA Shah Alam, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 34 time(s))