Martabat Pendekatan Tafsir Mawḍū‘ī dalam Penulisan Tafsir di Era Globalisasi
Sahlawati Abu Bakar1, Haziyah Hussin2, Wan Nasyrudin Wan Abdullah3, Afrizal Nur4.
Tafsir mawḍū‘ī yang juga disebut sebagai tafsir tematik mula diperkenalkan oleh ulama tafsir pada awal tahun 1970-an. Selepas itu, metode ini terus berkembang dengan pelbagai pendekatan yang dipelopori oleh tokoh-tokoh tafsir mawḍū‘ī, seperti al-Farmāwī, al-Kūmmī, ‘Abd al-Sattār, Muṣṭafā Muslim, al-Khālidī, Ziauddin Sardar dan lain-lain. Walaupun pendekatan yang dikemukakan oleh mereka bertujuan untuk menghasilkan penulisan tafsir mawḍū‘ī yang sistematik, namun pendekatan ini juga boleh digunakan bagi mendepani isu-isu di era globalisasi. Justeru, kajian ini bertujuan untuk menghuraikan pendekatan tafsir mawḍū‘ī oleh ulama tafsir dan membincangkannya dalam mendepani era globalisasi. Kajian ini menggunakan sumber dokumen sebagai kaedah pengumpulan data dan dianalisis menggunakan kaedah analisis kandungan. Hasil kajian mendapati para ulama tafsir mawḍū‘ī menggunakan pendekatan asas, seperti penentuan tema, pengumpulan ayat, kaitan antara ayat dengan tema dan rumusan ayat dengan tema. Sementara itu, pendekatan tafsir mawḍū‘ī boleh diperkasakan bagi mendepani isu kemasyarakatan di era globalisasi, seperti akidah, pembangunan sosial dan kelestarian alam sekitar. Kajian ini memberikan implikasi terhadap pembinaan komuniti yang lebih mampan dalam mengukuhkan aspirasi masyarakat madani.
Affiliation:
- Universiti Islam Selangor (UIS), Malaysia, Malaysia
- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Malaysia
- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Malaysia
- UIN Sulthan Syarif Kasim, Riau, Indonesia, Indonesia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 26 time(s))