Analisa terhadap undang-undang perjudian dalam talian di Malaysia
Sahanah, K1, Mohamad, R. A. R2.
Kekerapan laporan tentang aktiviti perjudian dalam talian yang dipaparkan menerusi media cetak dan elektronik menunjukkan bahawa tindakan segera perlu diambil untuk mengatasi gejala ini di Malaysia. Namun begitu, undang-undang substantif sahaja tidak memadai untuk menangani situasi ini kerana penguatkuasaan yang efektif adalah sama penting untuk mengawal berlakunya pelanggaran undang-undang tersebut. Oleh itu, artikel ini mempunyai objektif untuk menjalankan penyelidikan awal terhadap undang-undang sedia ada dan isu-isu yang berkaitan dengan perjudian dalam talian di Malaysia. Di samping itu, penulisan ini juga bertujuan mencungkil kesedaran tentang isu-isu yang timbul akibat wujudnya kelompangan dalam undang-undang tersebut. Penulisan ini bertujuan mengesyorkan hala tuju bagi penyelidikan-penyelidikan akan datang berkenaan perjudian dalam talian di Malaysia. Artikelini menggunakan kerangka kajian perundangan tulen yang bersifat kualitatif, iaitu data-data dikumpulkan melalui kajian perpustakaan dan temu bual untuk meneroka isu-isu berhubung dengan perjudian dalam talian di Malaysia. Pendekatan analisis kritikal telah diguna pakai dalam menganalisis data daripada penulisan, jurnal, berita dan rujukan lain yang terdahulu berkaitan dengan perjudian dalam talian. Kajian ini mendapati bahawa undang-undang perjudian dalam talian agak ketinggalan dan hal ini dikenal pasti sebagai suatu kelompangan. Selain itu, hasil kajian ini menunjukkan bahawa pindaan terhadap Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 perlu dilakukan segera untuk membantu agensi penguatkuasaan mengatasi krisis ini.
Affiliation:
- Universiti Kebangsaan Malaysia, Malaysia, Malaysia
- Universiti Kebangsaan Malaysia, Malaysia, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 36 time(s))