Kompetensi 6C siswa guru dalam pelaksanaan ‘inovasi digital dalam pengajaran dan pembelajaran’
Mahamsiatus Kamaruddin1, Manisah Mohd Shah2.
Kajian ini berfokus kepada penilaian tahap kompetensi 6C berasaskan pendekatan Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (KPPB) dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) ke atas siswa guru yang mengikuti kursus xxxx3152 ‘Inovasi Digital Dalam Pengajaran dan Pembelajaran’ di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik. Kompetensi 6C merupakan set kemahiran yang perlu dikuasai oleh setiap siswa guru bagi menilai kesan hasil pembelajaran di akhir kursus merangkumi konstruk sahsiah (character), kewarganegaraan (citizenship), kolaboratif (collaboration), komunikasi (communication), kreativiti (creativity) dan pemikiran kritis (critical thinking). Memandangkan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) melaksana Kapasiti Pedagogi Pembelajaran Bermakna (KPPB) dalam program akademik, oleh itu siswa guru di Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) bukan sahaja perlu mencapai hasil pembelajaran kursus, mereka juga perlu menguasai kompetensi 6C tersebut. Kajian ini dijalankan secara rintis menggunakan pendekatan kuantitatif berdasarkan adaptasi rubrik 6C yang dikemukakan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) melibatkan siswa guru opsyen Matematik, RBT dan Sains di mana mengikut penjajaran maklumat kursus, siswa guru perlu dapat menghasilkan bahan inovasi digital PdP menggunakan Model Trialogikal. Dapatan kajian menunjukkan kebolehpercayaan item yang digunakan berdasarkan ujian diagnostik Cronbach-alpha (0.966), termasuk nilai peratusan setiap tahap kompetensi 6C yang diperoleh berdasarkan lima aras dimensi perkembangan sama ada ‘Bukti Terhad’, ‘Permulaan’, ‘Berkembang’, ‘Kemajuan’ atau ‘Cemerlang’. Secara keseluruhan, didapati terdapat dua sub-dimensi 6C perlu diberi tumpuan iaitu “Sahsiah - Belajar cara belajar” dan “Kreativiti - Menyoal menggunakan soalan inkuiri yang tepat”. Dapatan ini menunjukkan bahawa tenaga pengajar perlu memberi tumpuan lanjut supaya pengajaran kursus pada masa akan datang dapat membantu siswa guru meningkatkan penguasaan PdP dengan lebih baik khususnya dalam merancang strategi pedagogi yang efektif secara lebih bermakna seterusnya meneruskan amalan dan budaya inovasi secara berterusan. Ini sejajar dengan misi IPGM ke arah menyediakan kualiti siswa guru yang kompeten dan berjiwa pendidik serta “agile” yakni tangkas dan dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran dan pemasalahan baharu apabila ditempatkan di sekolah kelak.
Affiliation:
- IPG Kampus Pendidikan Teknik, Nilai Negeri Sembilan, Malaysia
- IPG Kampus Pendidikan Teknik, Nilai Negeri Sembilan, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 3 time(s))