Pengaplikasian Model Teater Interaktif AJIH bagi Kanak-kanak Orang Asli dalam konteks pembelajaran kreatif
Balkis Omar1, Deenerwan, Marlenny2.
Permasalahan yang dihadapi berkaitan pendidikan komuniti Orang Asli di Malaysia sebahagian besarnya meliputi faktor-faktor dalaman seperti minat dan kefahaman, serta faktor luaran seperti kurikulum yang tidak sesuai dengan budaya dan keperluan mereka, selain daripada faktor ekonomi dan sosial. Ini menyumbang kepada peratus keciciran tinggi, seterusnya menyaksikan kanak-kanak Orang Asli (KKOA) meninggalkan alam persekolahan selepas tamat sekolah rendah kerana tidak memiliki motivasi untuk meneruskan pendidikan. Kajian ini meneroka penggunaan Model Teater Interaktif AJIH dalam pembelajaran KKOA dengan memberikan fokus kepada KKOA di Pertak, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Model AJIH dibangunkan sebagai intervensi kepada isu-isu yang menghalang KKOA menerima pendidikan khususnya di sekolah rendah. Dengan mengambil kira konteks budaya dan keperluan komunitinya, pengaplikasian Model AJIH bertujuan meningkatkan pemahaman, komunikasi, dan pengukuhan konsep kendiri yang rendah dalam kalangan KKOA. Objektif penyelidikan ini adalah untuk mengaplikasi Model AJIH bagi membangunkan konsep kendiri KKOA berdasarkan pengukuhan tingkah laku, minat, dan motivasi. Aktiviti dijalankan menerusi pelaksanaan bengkel didik hibur sebagai mekanisme pembelajaran kreatif bagi membina kepercayaan diri, nilai-nilai, sikap, persepsi dan keterampilan KKOA. Melalui kaedah kualitatif yang menggunakan Model Kajian Tindakan Kemmis dan McTaggart (1988), Teori Konstruktivisme Vygotsky (1978), Teori Konsep Kendiri Carl Rogers (1951) dan Teori Belajar Sambil Bermain (1962), kajian ini melibatkan pemerhatian, temu bual, dan jurnal harian KKOA. Dapatan kajian menunjukkan bahawa penggunaan Model Teater Interaktif AJIH adalah signifikan dalam meningkatkan interaksi sosial antara KKOA, memperkaya kreativiti melalui penggunaan elemen-elemen budaya dalam persembahan, serta meningkatkan pemahaman mereka terhadap nilai-nilai dan tradisi budaya Orang Asli. Penemuan kajian ini memberikan pandangan yang berharga untuk penyediaan pendekatan pembelajaran yang lebih holistik dan budaya-sensitif dalam pendidikan KKOA.
Affiliation:
- Universiti Malaya, Malaysia
- Universiti Malaya, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 21 time(s))