Pembinaan modal insan dalam novel komsas Kembara Amira karya Amer Hmzah L. Kadir
Mohd. Faizal Said1, Ani Omar2.
Kepentingan melahirkan modal insan dalam kerangka dan dasar pendidikan negara bukanlah suatu isu yang baharu. Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) sendiri dengan jelas menggariskan hala tuju pendidikan negara iaitu mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari aspek intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Falsafah ini menjadi asas utama dalam menjayakan cita-cita dan hasrat negara untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan bernilai tinggi. Sehubungan dengan itu, sewajarnya kurikulum yang dirancang dan dibina untuk subjek Bahasa Melayu termasuk Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (Komsas) dapat memenuhi cita-cita dan hasrat berkenaan. Justeru, kajian ini ingin menganalisis pembinaan modal insan dalam novel Kembara Amira karya Amir Hmzah L. Kadir yang merupakan salah sebuah novel Komsas untuk Tingkatan Lima Zon Utara. Sebagai landasan dalam menganalisis novel ini, Teori Sistem Pemikiran Bersepadu 4K (SPB4K) yang dijana oleh Mohd Yusof Hassan (2007) akan digunakan. Teori ini menjelaskan bahawa setiap manusia perlu memiliki pemikiran kerohanian, pemikiran kebitaraan, pemikiran kesaintifikan, dan pemikiran kekreatifan secara bersepadu dan seimbang bagi melahirkan manusia yang soleh atau solehah, sarjana, saintis, dan seniman. Empat pemikiran ini begitu selari dengan unsur-unsur dalam FPK. Kaedah penelitian yang digunakan ialah teknik bacaan rapi dan seterusnya menganalisis isi (content analysis) dengan mengaplikasikan empat pemikiran dalam Teori SPB4K ke atas novel untuk meneliti pembinaan modal insan yang dikemukakan oleh pengarang. Hasil kajian menunjukkan pengarang berjaya merangkumkan keempat-empat pemikiran SPB4K dalam usaha mengangkat keperibadian terpuji Amira. Ini membuktikan bahawa dalam proses pengajaran dan pembelajaran, para guru boleh mengangkat Amira sebagai ikon modal insan yang boleh dicontohi oleh pelajar dengan menganalisisnya menerusi pemikiran kerohanian, kebitaraan, kesaintifikan, dan kekreatifan.
Affiliation:
- Not Indicated, Not Indicated
- Not Indicated, Not Indicated
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 434 time(s))