Amalan guru dan penguasaan aspek ilmu linguistik dalam kalangan guru Bahasa Melayu di Perak
Norismayati Aida Idris1, Anida Sarudin2, Mohd. Rashid Md. Idris3.
Guru yang profesional ialah guru yang memiliki pengetahuan luas dalam pengajian akademik yang intensif dengan latihan yang formal. Ini bermaksud, profesion perguruan memerlukan pengetahuan yang tinggi dan kepakaran tertentu untuk mencapai keberkesanan, produktiviti, kecekapan dan mempunyai sikap bertanggungjawab. Menurut Sufean Hussein (1996), ahli profesional mempraktikkan pekerjaan mereka dengan darjah autonomi yang tinggi. Mereka tidak diselia dalam menjalankan tugas, sebaliknya bertanggungjawab menjalankan tugas, menyelia diri sendiri, dan dedikasi ke arah menyediakan perkhidmatan. Oleh itu, tinjauan terhadap amalan guru Bahasa Melayu perlu untuk meningkatkan kualiti pengajaran mereka ke arah melahirkan pelajar berintelek. Objektif kajian ini adalah untuk mengetahui sejauh mana amalan guru-guru Bahasa Melayu di beberapa buah sekolah di daerah Perak dalam menjalankan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dan mengetahui sejauh manakah penguasaan ilmu linguistik yang merupakan ilmu yang penting dalam subjek Bahasa Melayu. Kajian ini dijalankan di beberapa buah sekolah di Perak, iaitu di daerah Manjung, di daerah Batang Padang, dan di daerah Kuala Kangsar. Seramai 57 orang guru Bahasa Melayu dipilih untuk menjawab soal selidik dan dua orang guru bagi setiap sekolah dipilih untuk ditemu bual dan dibuat pemerhatian terhadap pengajaran yang dijalankan. Data yang telah dikumpul dianalisis dengan menggunakan kekerapan, peratus, min dan sisihan piawai dengan bantuan program SPSS. Berdasarkan dapatan statistik bagi 12 pernyataan berkaitan amalan guru Bahasa Melayu dalam meningkatkan kualiti pengajaran, dilihat bahawa kesemua pernyataan tersebut menunjukkan dapatan yang positif. Keputusan menunjukkan bahawa guru-guru Bahasa Melayu sentiasa memanfaatkan amalan pengajaran yang positif bagi memastikan kualiti pengajaran kepada pelajar. Namun demikian, rata-rata mereka tidak dapat menunjukkan penguasaan terhadap konsep-konsep asas linguistik yang diberikan melalui soal selidik. Dalam konteks ini, terbukti bahawa masih terdapat kelonggaran dalam amalan guru Bahasa Melayu dalam meningkatkan mutu pengajaran.
Affiliation:
- Not Indicated, Not Indicated
- Not Indicated, Not Indicated
- Not Indicated, Not Indicated
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 458 time(s))