Kebolehlaksanaan dan kebolehgunaan modul pengajaran bahasa berlandaskan pendekatan holistik
Zulkifli Osman1.
Sukatan pelajaran Bahasa Melayu peringkat sekolah menengah menuntut agar proses pengajaran dan pembelajaran bahasa ini disampaikan secara bersepadu atau holistik bagi memenuhi tuntutan falsafah pendidikan negara. Namun, fenomena semasa menunjukkan bahawa falsafah ini tidak berlaku. Kajian lalu misalnya membuktikan bahawa proses pengajaran dan pembelajaran bahasa dalam kalangan pelajar di bilik darjah masih bersifat tradisional, memberi fokus terhadap peperiksaan dan menafikan kehendak dan naluri pelajar. Kajian ini akan mendapatkan pandangan guru dan pelajar terhadap kebolehlaksanaan dan kebolehgunaan modul pengajaran Bahasa Melayu berlandaskan pendekatan holistik. Aspek kebolehlaksanaan meliputi aspek kerelevanan isi kandungan, kebolehcapaian objektif pelajaran, kebolehlaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran, dan kemampuan menarik minat pelajar. Aspek kebolehgunaan pula melibatkan aspek strategi pengajaran, kaedah pengajaran kemahiran bahasa, kaedah pengajaran tatabahasa, penggunaan bahan pengajaran dan pembelajaran, dan teknik penilaian di bilik darjah. Bagi mendapatkan data, enam guru Bahasa Melayu Tingkatan dan enam kelompok pelajar Tingkatan Empat dilibatkan. Bagi mendapatkan data, teknik soal selidik, temu bual separa struktur dan komen guru dan pelajar digunakan. Soal selidik digunakan bagi mendapatkan data kebolehlaksanaan, manakala temu bual separa struktur digunakan bagi mendapatkan data kebolehgunaan. Instrumen kajian ini ditadbir kepada guru dan pelajar setelah modul pengajaran bahasa dilaksanakan. Dapatan kajian mendapati semua aspek pengajaran dan pembelajaran mendapat komen yang positif daripada guru dan pelajar dan dapat meningkatkan motivasi pelajar. Implikasi kajian juga turut dibincangkan.
Affiliation:
- Not Indicated, Not Indicated
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 492 time(s))