Sistem sokongan keputusan untuk menilai dan memantau prestasi guru: kajian rintis di SMK Bachok, Kelantan
Suzani Mohamad Samuri1, Hermaelisrani Abdul Ghani2, Bahbibi Rahmatullah3, Nurul Syakilah Ab Aziz4.
Kajian ini mencadangkan sistem yang lebih mudah dan berkesan untuk penilaian prestasi guru-guru di sekolah menggunakan Sistem Sokongan Keputusan (Decision Support System, DSS) yang dipanggil Key Performance Indicator-Monitoring Tool (KPI-MT). Antara muka sistem ini telah dibangunkan dengan menggunakan perisian Macromedia Dreamweaver, manakala PHP Hypertext Preprocessor (PHP) versi 5.2.9 digunakan sebagai bahasa skrip dan MySQL versi 5.0 sebagai sistem pengurusan pangkalan data. DSS dalam sistem KPI-MT juga turut menggunakan kaedah jumlah wajaran (Weighted Sum Method, WSM) untuk mengira markah keseluruhan guru-guru dan juga untuk menentukan sama ada prestasi guru dalam tahun itu adalah sangat baik, baik, sederhana, kurang memuaskan atau lemah. Dengan sistem KPI-MT, pengetua sekolah boleh memantau prestasi guru bermula dari tahun pertama perkhidmatan guru di sekolah. Untuk memastikan bahawa keseluruhan sistem yang dibangunkan memenuhi keperluan sekolah dan untuk melihat sama ada antaramuka yang dibina adalah mesra pengguna atau tidak, satu kajian kebolehgunaan telah dijalankan. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaji selidik dengan set soalan kepada sepuluh responden dan data yang dikumpul dianalisis dengan menggunakan Statistical Package For Social Science (SPSS) versi 21.0. Keputusan menunjukkan bahawa pengguna yang kebanyakannya guru-guru dan bakal guru berpuas hati dengan sistem KPI-MT kerana mudah untuk digunakan, di mana mereka tidak memerlukan bantuan teknikal untuk mengendalikan sistem ini. Dengan ciri-ciri tambahan yang terdapat pada prototaip KPI-MT ini, seperti paparan graf dan keupayaan untuk memantau prestasi guru-guru setiap tahun, maka adalah dilihat bahawa prototaip ini berpotensi untuk menggantikan sistem KPI yang sedia ada di sekolah bagi membantu pihak pengurusan sekolah terutamanya pengetua, untuk menilai dan memantau prestasi guru dengan lebih baik dan efisyen.
Affiliation:
- Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia
- Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia
- Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia
- Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 318 time(s))