Pendekatan berpusatkan pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu bagi membentuk kemahiran insaniah pelajar di universiti awam
Alizah Lambri1, Zamri Mahmood2.
Kertas kerja ini membincangkan pelaksanaan pendekatan berpusatkan pelajar yang dilihat berpotensi dalam membentuk kemahiran insaniah pelajar di Universiti Awam. Kajian kualitatif ini menggunakan kaedah pemerhatian dan temu bual untuk proses pengutipan data. Peserta kajian terdiri daripada seorang pensyarah Bahasa Melayu dan 21 orang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu di sebuah Universiti Awam. Data dianalisis berdasarkan kod dan tema yang muncul daripada data temu bual dan pemerhatian. Dapatan kajian menunjukkan pendekatan berpusatkan pelajar (PBP) yang dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dapat menggalakkan pembentukan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar, khususnya kemahiran interpersonal, kemahiran komunikasi dan sosial, kemahiran berfikir dan menyelesaikan masalah, kemahiran kepimpinan, kemahiran kerja berpasukan dan kemahiran teknologi maklumat. Kemahiran insaniah membolehkan seseorang pelajar menyesuaikan diri bukan sahaja dengan perubahan dan perkembangan dalam sektor pekerjaan kelak, tetapi juga dalam menghadapi kehidupan seharian. Oleh itu, bagi melahirkan modal insan yang seimbang dari segi akademik dan sahsiah, setiap pelajar amat digalakkan untuk menjadi pelajar yang berketrampilan dan mempunyai kemahiran insaniah yang baik demi menghadapi cabaran global dan pasaran kerja yang semakin mencabar.
Affiliation:
- Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia
- Universiti Kebangsaan Malaysia, Malaysia
Toggle translation
Download this article (This article has been downloaded 412 time(s))